MASJID KE ARAH PUSAT KOMUNITI UNGGUL


Kertas kerja ini mengandungi cadangan-cadangan untuk meningkatkan fungsi Masjid supaya lebih berkesan dalam mendidik Anak Qaryah dan masyarakat sekitarnya. Semoga dengan langkah-langkah yang dicadangkan, pengimarahan masjid akan menjadi lebih baik insya Allah.

PENGENALAN

Masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. berfungsi sebagai Pusat Pentadbiran, Pusat Pendidikan, Pusat Kehakiman, Pusat Ketenteraan, Pusat Latihan, Pusat Dakwah Islam, Pusat Kesihatan dan Kebajikan serta aktiviti-aktiviti mu’amalah yang lain. Kesimpulannya, masjid berperanan sebagai pusat komuniti bagi masyarakat Islam. Rabbani bermaksud masjid itu seharusnya menjadi sebuah institusi yang mendidik masyarakat.

adangan penambahbaikan ini dikategorikan dalam aspek-aspek berikut:-

1) Pengurusan Organisasi
2) Kemudahan Infrastruktur
3) Skop dan Kaedah Pelaksanaan Aktiviti Masjid

1) PENGURUSAN ORGANISASI

a) Pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid

Pemilihan AJK Masjid mesti dilakukan dengan teliti dan serius, bukan sekadar melengkapkan takwim tahunan atau memenuhi tuntutan Pejabat Agama. Sumber manusia dalam mana-mana organisasi perlu mengambil kira dua aspek penting iaitu Al-Qawiyy (kuat) dan Al-Amin (amanah). Kuat bermaksud mampu dari segi ilmu dan kemahiran seperti dakwah, komunikasi, teknologi maklumat, pengurusan organisasi dan lain-lain. Amanah pula diperlukan untuk memastikan tanggungjawab sebagai AJK Masjid dijalankan dengan ikhlas dan penuh komitmen. Dalam menilai kelayakan seseorang, tidaklah bermaksud mereka perlu sempurna tetapi sekurang-kurangya ada asas kepada dua nilai di atas. Dengan itu, akan wujudlah sebuah pasukan pengurusan masjid yang mantap insya Allah.

Dalam soal pemilihan, saya mencadangkan penglibatan para imam dan bilal masjid, wakil surau-surau kampung, guru-guru agama dalam taman dan wakil kawasan yang berfungsi sebagai Jawatankuasa Pemilihan AJK Masjid untuk memilih calon-calon yang layak. Dengan adanya wakil dari pelbagai pihak, pencalonan akan lebih adil dan menyeluruh.

Masjid pula nadi masyarakat.
Lemah nadi, maka lemahlah masyarakat.
Selain itu, gabungan AJK Masjid seboleh-bolehnya merangkumi pelbagai latar belakang kerjaya dan umur. Profesional dan bukan professional dapat memberi pandangan dari aspek yang berbeza. Wakil generasi muda juga perlu ada. Ini kerana, masjid realitinya dikaitkan dengan orang pencen atau warga tua. Orang muda biasanya jauh dari masjid. Jadi, kita kena kreatif dalam berdakwah kepada mereka. Pandangan yang pelbagai ini akan membantu Jawatankuasa Masjid untuk memilih cara yang sesuai untuk kumpulan sasar yang berbeza.

b) Pemantapan AJK

Latihan dari semasa ke semasa boleh dibuat untuk memantapkan AJK masjid terutamanya untuk gerak kerja dakwah, pengurusan organisasi, dokumentasi kerja dan lain-lain. Kursus induksi pada peringkat awal dan seterusnya kursus-kursus bersiri perlu disusun. Wakil-wakil AJK yang menghadiri kursus atau persidangan luar di mana-mana peringkat perlu menyampaikan kepada AJK Masjid yang lain dan seterusnya berusaha melaksanakan apa yang diterima. Kita tidak mahu sekadar menghadiri kursus.

Sudah sampai masanya Jawatankuasa Masjid mewujudkan ‘subcom’ sendiri sama ada secara tetap atau untuk tempoh tertentu seperti dalam Jawatankuasa Khas atau Program. Ini menambah bilangan kakitangan yang dapat melancarkan lagi gerak kerja masjid. Bagi saya, bilangan AJK Masjid yang sedia ada tidak mencukupi. Peluang ini juga membuka ruang untuk menggalakkan masyarakat terlibat dalam usaha dakwah. Untuk tujuan penghargaan dan galakan, mungkin boleh juga diwujudkan saguhati dalam bentuk sijil dan elaun atau hadiah.

Kita juga boleh menggunakan konsep ‘wakil rakyat’. Wakil-wakil masjid boleh dilantik di setiap lorong dalam taman berdasarkan jarak. Mereka akan berfungsi untuk mempromosikan sebarang aktiviti masjid dan juga menjadi tempat mengumpul cadangan, komen dan teguran berkenaan masjid.

2) KEMUDAHAN DAN PENJAGAAN INFRASTRUKTUR

a) Galeri Akhbar

Galeri ini mengandungi akhbar harian, buku-buku dan majalah-majalah islamik. Lengkap dengan kerusi dan meja yang mempunyai susun atur dan rekabentuk yang menarik dan selesa kepada jemaah dan pengunjung masjid. Cadangan lokasi ialah ruangan yang bersesuaian di bahagian tepi masjid atau sudut bersesesuaian di Kafe. Memandangkan ramai orang yang ingin membaca akhbar, ini akan menjadi salah satu daya tarikan untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid. Bermula dengan akhbar, mereka boleh tertarik dengan bahan bacaan islamik yang lain seperti buku dan majalah. Cuma, untuk menjaga kesucian masjid dan adab, bahagian-bahagian yang tidak elok seperti hiburan tidak perlu diletakkan. Gambar-gambar mendedahkan aurat dalam akhbar juga boleh dihitamkan.

b) Pusat Usahawan

Pihak masjid juga boleh mengeluarkan modal kepada Biro Ekonomi untuk membuat barangan jualan cenderahati masjid melalui tempahan seperti :
t-shirt, sticker, key chain, mug, topi, sweater, pen, buku catatan dan lain-lain. Kegiataan ini boleh menjadi satu cara dakwah melalui slogan-slogan dan kata-kata nasihat pendek yang ditulis pada barangan tersebut.

3) SKOP DAN KAEDAH PELAKSANAAN AKTIVITI

Skop dan kaedah pelaksanaan aktiviti masjid boleh diperluas untuk menarik semua peringkat umur terutamanya golongan muda ke masjid. Kita perlu menonjolkan elemen Islam sebagai ad-din atau cara hidup yang tidak terhad kepada ibadah khusus sahaja. Kita juga harus menjadikan masjid sebagai institusi yang penting sepanjang sejarah hidup seseorang yang menjadikannya sentiasa dikenang dalam ingatan individu tersebut lantas tidak menjadikan masjid sebagai sesuatu yang asing.

a) Majlis Penghargaan / Anugerah Kecemerlangan / Meraikan / Bantuan

– Pelajar yang berjaya dalam peperiksaan
– Ibu / bapa / keluarga mithali (contohnya sempena hari ibu atau
hari bapa)
– Anak-anak lelaki yang berkhatan
– Anak-anak Qaryah yang berjaya memasuk institusi pengajian tinggi dalam atau luar negara.
– Mahasiswa universiti yang tamat belajar
– Guru/Pekerja (Hari Guru/Pekerja)
– Anugerah usahawan contoh
– Bantuan/meraikan anak-anak kurang upaya
– Majlis agihan bantuan zakat

b) Tazkirah Sebelum Jumaat dan Kelas Pengajian Agama

Kuliah ini dapat mewujudkan suatu budaya ilmu di kalangan masyarakat dan boleh berfungsi sebagai tazkirah pengisian rohani pada hujung minggu setelah sibuk bekerja sepanjang lima hari. Kita boleh memanggil penceramah luar atau gunakan sahaja khidmat orang kita. Antara subjek-subjek yang boleh diketengahkan ialah tafsir al-Quran, fiqah, syarah hadith, ‘aqidah, tazkiyatunnafs atau tazkirah umum. Kelas-kelas agama, kuliah mingguan dan kelas al-quran boleh terus dimantapkan dan ditingkatkan promosinya. Mungkin boleh diubah cara penyampaian seperti mengadakannya dalam bentuk forum, pidato, kuiz, tayangan atau soal jawab. Sekali sekala boleh juga dijemput tokoh-tokoh ulama’ dalam negara/negeri untuk member sedikit kelainan, membangkitkan semangat dan menarik minat para jemaah.

c) Jemputan Luar

Masjid boleh memanfaatkan agensi-agensi kerajaan (IKIM, Yayasan Pembangunan Keluarga, PDRM, JKJR, Jabatan Belia dan Sukan, Hospital, Pusat Sains dan lain-lain) atau bukan kerajaan, institusi pengajian, media, syarikat swasta (TM, Bank Islam dan lain-lain) untuk mengadakan pameran, penerangan, hari terbuka, kursus dan sebagainya. Pihak masjid boleh menyediakan lokasi yang sesuai di kawasan masjid.

d) Aktiviti Sosial

Aktiviti sosial seperti riadhah contohnya bersenam, joging, bermain bola, futsal, badminton, memancing, berbasikal dan lain-lain. Gunakan minat seseorang sebagai cara untuk berdakwah. Kadang-kadang kita tidak perlu menyebut secara terus. Bila mereka merasakan orang-orang masjid mudah didekati, maka lama-kelamaan, mereka boleh dekat dengan masjid insya Allah. Majlis ringkas seperti jamuan makan juga dapat merapatkan hubungan masyarakat dengan AJK masjid dan dengan masjid itu sendiri. Apa sahaja cara, konsep yang kita pegang ialah jika mereka tidak datang kepada kita, kita pergi kepada mereka. Contoh lain ialah ziarah rumah ke rumah. Bukan sahaja wakil rakyat, bahkan AJK masjid juga boleh turun padang dan bawa cenderahati untuk dihadiahkan kepada anak Qaryah. Cukuplah beberapa rumah sebulan terutamanya mereka yang jarang datang ke masjid.

e) Penyampaian Maklumat yang Menyeluruh, Menarik dan Dikemaskini

Pengumuman sebelum atau selepas solat Jumaat adalah cara yang efektif. Namun begitu, perlu juga ada cara lain yang menyokong dan mengingatkan masyarakat tentang sesuatu aktiviti atau pengumuman. Contohnya:-

i) Papan kenyataan masjid mesti sentiasa dikemaskini dan dihias dengan menarik serta ditempatkan di lokasi yang paling strategik. Aspek kemaskini adalah merupakan elemen penting dalam memastikan ia benar-benar berfungsi memberi maklumat kepada masyarakat. Mungkin juga boleh mengadakan kerjasama dengan golongan belia atau para remaja untuk meletakkan papan kenyataan tambahan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar, kedai-kedai runcit dan warung kopi. Ia juga boleh berfungsi sebagai medium dakwah kepada masyarakat.

ii) Buletin masjid yang boleh diisi dengan pelbagai bahan seperti rumusan kuliah bagi minggu tersebut, pengumuman, tazkirah, tafsir ayat al-Quran pilihan, syarah hadith pilihan, soal-jawab agama dan sebagainya.

iii) Manfaatkan penggunaan media seperti internet, radio dan akhbar untuk makluman aktiviti masjid. Kebanyakan radio menawarkan promosi percuma untuk pengiklanan yang tidak bersifat keuntungan. Akhbar seperti Sinar Harian misalnya mudah menerima permintaan untuk melaporkan sebarang aktiviti masyarakat setempat.

KESIMPULAN

Kertas kerja ini dibuat bersumberkan kepada pemerhatian, perbincangan, pembacaan dan pengajian penulis. Sudah tentu cadangan-cadangan di atas mempunyai pro dan kontra. Ia juga tidak terlepas daripada kemungkinan adanya salah faham, kesilapan dan kekurangan disebabkan ilmu yang terbatas. Penulis mengalu-alukan teguran dan bimbingan. Adalah diharapkan ianya dapat membantu sedikit sebanyak Jawatankuasa Masjid dan masjid-masjid lain untuk menyusun pengurusan dan aktiviti masjid. Semoga dengan itu, institusi masjid yang rabbani dapat direalisasikan untuk manfaat untuk anak Qaryah dan semua golongan masyarakat. Wallahu a’lam.

Posted on 30/05/2011, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: