Martabatkan Hukum Islam

AKTA 505
AKTA PENTADBIRAN
UNDANG-UNDANG ISLAM
(WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993
mengandungi pindaan terkini – P.U.(A) 250/2002

Tajuk panjang & Mukadimah.

Suatu Akta bagi mengadakan peruntukan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan suatu undang-undang yang berkaitan dengan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi Mahkamah-Mahkamah Syariah, dan perkara-perkara yang berhubungan dengannya.

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:

BAHAGIAN I – PERMULAAN

    Seksyen 1. Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuatkuasa.

    (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan terpakai hanya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
    [Pin. P.U.(A) 250/2002:s.3]

    (2) Akta ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.

    (3) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan tarikh-tarikh yang berlainan bagi mula berkuatkuasanya peruntukan-peruntukan yang berlainan dalam Akta ini.

    Seksyen 2. Tafsiran.

    (1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain–

    “anak kariah” ertinya seseorang yang secara tetap atau pada lazimnya tinggal dalam kariah masjid;

    “Enakmen” ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 bagi Negeri Selangor–
    (a) berhubungan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagaimana yang diubahsuaikan oleh Perintah-Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1974 [P.U.(A) 44/74], 1981[P.U.(A) 390/81] dan 1988 [P.U.(A) 163/88] yang dibuat menurut seksyen 6(4) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurut kuasa seksyen 6(1) Akta itu dan Akta Pentadbiran Hukum Syarak (Pindaan) 1984 [Akta A576];
    [Pin. P.U.(A) 250/2002:s.4]
    (b) berhubungan dengan Wilayah Persekutuan Labuan, sebagaimana yang diubahsuaikan dan diperluaskan melalui Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pengubahsuaian dan Perluasan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1985 [P.U.(A) 352/85] yang dibuat menurut seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585]; dan
    [Pin. P.U.(A) 250/2002:s.4]
    (c) berhubung dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya, sebagaimana yang diperluas dan diubahsuaikan oleh Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pemerluasan dan Ubah Suaian Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993) 2002 [P.U. (A) 250/2002] yang dibuat menurut seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095];
    [Mas. P.U.(A) 250/2002:s.4]

    “Hakim Syarie” atau “Hakim” ertinya Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang dilantik di bawah seksyen 43(1) tetapi tidak termasuk Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 44(1);

    “Hukum Syarak” ertinya Undang-Undang Islam mengikut mana-mana Mazhab yang diiktiraf;

    “Imam” ertinya Imam yang dilantik di bawah seksyen 76(3);

    “Imam Ratib” ertinya Imam Ratib yang dilantik di bawah seksyen 76(4);

    “jawatankuasa kariah” ertinya jawatankuasa kariah yang ditubuhkan di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen 81;

    “Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak” ertinya Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang ditubuhkan di bawah seksyen 37(1);

    “kariah masjid”, berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan yang sempadannya ditentukan di bawah seksyen 75 yang di dalamnya masjid itu terletak;

    “Ketua Hakim Syarie” ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah seksyen 41(1);

    “Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama” dan “Pegawai Penguatkuasa Agama” ertinya pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah seksyen 58(4);

    “Ketua Pendakwa Syarie” ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 58(1);

    “Kumpulan Wang” ertinya Kumpulan Wang yang dikenali sebagai Baitulmal yang ditubuhkan di bawah seksyen 60;

    “Mahkamah” atau “Mahkamah Syariah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 40;

    “Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 4(1);

    “masjid” ertinya suatu bangunan yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan, atau dibenarkan oleh agama Islam, dan termasuk mana-mana masjid atau surau atau madrasah yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga;

    “Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pentadbiran agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan;

    “Mufti” ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan di bawah seksyen 32, dan termasuk Timbalan Mufti;

    “nazr” ertinya suatu ikrar yang dilafazkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau mewakafkan harta bagi apa-apa maksud yang dibenarkan oleh Hukum Syarak;

    “nazr ‘am” ertinya suatu nazr yang dimaksudkan keseluruhannya atau sebahagiannya bagi faedah masyarakat Islam amnya atau mana-mana bahagian masyarakat Islam, dan bukanlah bagi seorang individu atau individu-individu;

    “orang Islam” ertinya–
    (a) seseorang yang menganut agama Islam;

    (b) seseorang yang salah seorang atau kedua ibu bapanya, pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;

    (c) seseorang yang cara dia dibesarkan telah dijalankan atas asas bahawa dia orang Islam;

    (d) seseorang yang telah masuk Islam mengikut kehendak-kehendak seksyen 85;

    (e) seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam; atau

    (f) seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan, dalam hal keadaan di mana dia terikat oleh undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia adalah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis;

    “Pegawai Masjid” ertinya Naqib Masjid, Imam, Imam Ratib, Bilal dan Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid;

    “Peguam Syarie” ertinya seseorang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 59;

    “Pembantu Bilal” ertinya Pembantu Bilal sesuatu masjid yang dilantik di bawah seksyen 76(4);

    “Pendakwa Syarie” ertinya seorang pegawai yang dilantik di bawah seksyen 58(3);

    “Pengerusi” ertinya Pengerusi Majlis;

    “Setiausaha” ertinya Setiausaha Majlis yang tersebut dalam seksyen 14;

    “wakaf ‘am” ertinya wakaf yang berkekalan atas modal dan pendapatan daripada harta bagi maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan sedemikian;

    “wakaf khas” ertinya wakaf yang berkekalan atau bagi suatu tempoh terhad atas modal harta bagi maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan sedemikian, yang berpendapatan daripadanya diberikan kepada orang-orang atau bagi maksud-maksud yang ditetapkan dalam wakaf itu;

    “Wilayah-Wilayah Persekutuan” ertinya Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
    [Gan. P.U.(A) 250/2002:s.4]

    (2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam Akta ini dan tidak ditakrifkan di dalam Akta ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 [Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing setakat yang erti-erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

    (3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

    http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/

Posted on 27/05/2011, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: